SELAMAT DATANG!

Assalamualaikum w.b.t.
Selamat datang ke blog saya.

Jumaat, 9 Disember 2011

TEROMBA

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Kali ini saya akan membicarakan pula tentang puisi Melayu Tradisional yang dikenali sebagao 'teromba'. Puisi ini terkenal dalam masyarakat Melayu Minangkabau di Negeri Sembilan yang mengamalkan adat pepatih.

'Teromba' bermaksud perbilangan adat, undang-undang yang tetap dan kata-kata adat. Isi kandungannya berkaitan dengan adat, nilai, aturan, hukum, undang-undang pegangan hidup dan keagamaan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu Minangkabau.

Contoh teromba adalah seperti berikut:

Adat Yang Diadatkan

Adat yang diadatkan
Adat yang tumbuh dari raja
Adat yang tumbuh dari datuk
Adat yang cucur dari penghulu
Adat yang dibuat kemudian

Putus muafakat ia berubah
Bulat kata ia berganti
Beralih musim ia layu
Bertukar angin ia melayang
Bersalin bajunia tercampak
Berkisar duduk ia beralih
Berpaling tegak ia lepas

Adat yang dapat dibuat-buat
Adat yang dapat ditukar salin

(sumber : Abdul Halim Ali, 2006:48)

Ciri-ciri teromba:
  • Teromba berbentuk bebas, tidak seperti pantun yang bentuknya terikat.
  • Jumlah baris dalam setiap rangkapnya juga tidak tetap.
  • Rima akhir pada setiap barisnya juga tidak sama.
  • Dalam teromba, diselitkan juga beberapa puisi Melayu lama yang lain seperti pantun, gurindam dan peribahasa.
  • Teromba boleh didendangkan dengan pelbagai cara mengikut kreativiti sendiri.
  • Dalam adat perpatih, teromba berfungsi sebagai pedoman atau peraturan hidup yang perlu dipatuhi oleh semua lapisan masyarakat sama ada raja, pemimpin dan rakyat jelata.

Apa yang boleh disimpulkan di sini ialah, teromba menggambarkan kreativiti tinggi yang dimiliki oleh orang Melayu Negeri Sembilan yang berupaya membina  puisi yang  di dalamnya terdapat peraturan-peraturan yang harus diikuti oleh semua lapisan masyarakat.

Sekian dahulu untuk kali ini.
Insyaallah di lain waktu kita berkenalan pula dengan bentuk puisi tradisional yang lain.


(sumber: Hasrina Baharum-Dewan Pelajar)

Khamis, 8 Disember 2011

TALIBUN

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Selamat bertemu kembali. Kali ini, kita akan berkenalan dengan satu lagi puisi warisan Melayu. Puisi yang dimaksudkan ialah 'TALIBUN'.

**TALIBUN**

Talibun juga dikenali sebagai sesomba. Puisi ini biasa kita dapati terdapat dalam  cerita penglipur lara. Sebagai contoh dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda. Puisi yang terdapat di dalam cerita tersebit dipanggil talibun. Talibun ini ditulis untuk menceritakan sesuatu perkara secara khusus. Sebagai contoh, untuk menceritakan kecantikan seorang puteri raja atau keberanian putera raja. Contoh talibun di bawah menceritakan kecantikan seorang puteri seperti yang terdapat di dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda.

Pipi bagai pauh dilayang
Hidung kuntum bunga serayu
Telinga telepuk layu
Dahi bagai sehari bulan
Kening bagai bentuk taji
Leher jinjang buyung petani
Lengan seperti baur panah
Jari halus tombok serai
pinggang secekak jari manis
Betis bagai bunting padi
Tumik bagai telur burung
Ibu kaki bungkal setahil

dipetik dari Hikayat Awang Sulung Merah Muda


Talibun mempunyai sifat yang tersendiri seperti juga puisi-puisi Melayu tradisional yang lain. Talibun mempunyai ciri-ciri seperti berikut :
  1. Terdapat dalam cerita penglipur lara.
  2. Berebentuk bebas iaitu tidak mempunyai jumlah baris atau rangkap tertentu.
  3. Isinya menceritakan sesuatu perkara secara khusus. Contohnya kehebatan pahlawan, kecantikkan seorang puteri, kehebatan seorang putera raja, keindahan sesuatu tempat atau kehebatan pakaian yang dipakai oleh anak raja dan juga gambaran suasana peperangan. 
  4. Sesuatu rangkap talibun boleh digunakan berulang kali untuk menceritakan perkara yang sama dalam sesebuah cerita.
  5. Pada masa dahulu, talibun didendangkan dengan irama tertentu oleh penglipur lara untuk menarik perhatian penonton.
Talibun menunjukkan kebijaksanaan orang Melayu pada masa dahulu menggunakan unsur alam di sekeliling mereka untuk menceritakan sesuatu perkara dengan lebih jelas dan teliti. Talibun juga menunjukkan daya kretiviti dan daya imaginasi tinggi penciptanya.

Sekian dahulu untuk kali ini. Lain kali kita akan bertemu lagi dengan puisi tradisional yang lain.

(sumber daripada Hasrina Baharom-Deawan Pelajar)