SELAMAT DATANG!

Assalamualaikum w.b.t.
Selamat datang ke blog saya.

Jumaat, 9 Disember 2011

TEROMBA

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Kali ini saya akan membicarakan pula tentang puisi Melayu Tradisional yang dikenali sebagao 'teromba'. Puisi ini terkenal dalam masyarakat Melayu Minangkabau di Negeri Sembilan yang mengamalkan adat pepatih.

'Teromba' bermaksud perbilangan adat, undang-undang yang tetap dan kata-kata adat. Isi kandungannya berkaitan dengan adat, nilai, aturan, hukum, undang-undang pegangan hidup dan keagamaan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu Minangkabau.

Contoh teromba adalah seperti berikut:

Adat Yang Diadatkan

Adat yang diadatkan
Adat yang tumbuh dari raja
Adat yang tumbuh dari datuk
Adat yang cucur dari penghulu
Adat yang dibuat kemudian

Putus muafakat ia berubah
Bulat kata ia berganti
Beralih musim ia layu
Bertukar angin ia melayang
Bersalin bajunia tercampak
Berkisar duduk ia beralih
Berpaling tegak ia lepas

Adat yang dapat dibuat-buat
Adat yang dapat ditukar salin

(sumber : Abdul Halim Ali, 2006:48)

Ciri-ciri teromba:
  • Teromba berbentuk bebas, tidak seperti pantun yang bentuknya terikat.
  • Jumlah baris dalam setiap rangkapnya juga tidak tetap.
  • Rima akhir pada setiap barisnya juga tidak sama.
  • Dalam teromba, diselitkan juga beberapa puisi Melayu lama yang lain seperti pantun, gurindam dan peribahasa.
  • Teromba boleh didendangkan dengan pelbagai cara mengikut kreativiti sendiri.
  • Dalam adat perpatih, teromba berfungsi sebagai pedoman atau peraturan hidup yang perlu dipatuhi oleh semua lapisan masyarakat sama ada raja, pemimpin dan rakyat jelata.

Apa yang boleh disimpulkan di sini ialah, teromba menggambarkan kreativiti tinggi yang dimiliki oleh orang Melayu Negeri Sembilan yang berupaya membina  puisi yang  di dalamnya terdapat peraturan-peraturan yang harus diikuti oleh semua lapisan masyarakat.

Sekian dahulu untuk kali ini.
Insyaallah di lain waktu kita berkenalan pula dengan bentuk puisi tradisional yang lain.


(sumber: Hasrina Baharum-Dewan Pelajar)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan